I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 1 March 2012


KREATIVITI DAN KANAK-KANAK

1.1KREATIVITI

Lowenfeld (1975) percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Penyataan ini disokong dengan sifat semula jadi kanakkanak yang gemar meneroka, dan penuh dengan perasaan ingin tahu.

1.2 PENGERTIAN KREATIVITI
Kreativiti berasal daripada perkataan Latin iaitu “creare” yang membawa maksud “membuat”. Manakala daripada perkataan Greek pula “creare” bermaksud “memenuhi’. Kamus Dewan, (2002) mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan manakala kreatif pula sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli.
Kesimpulannya kreativiti adalah kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli. Ada juga pendapat yang mentakrifkan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tidak ada sebelumnya.

1.3 PANDANGAN TOKOH-TOKOH SENI VISUAL MENGENAI KREATIVITI

Ellis Paul Torrance atau lebih dikenali sebagai Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang tersohor dalam bidang kreativiti. Kerja-kerja penyelidikannya di dalam mendalami bidang ini telah berjaya mengembangkan bidang kreativiti dan beliau telah diiktiraf dengan gelaran Bapa Kreativiti.

June King McFee pula mentakrifkan kreativiti itu sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru dan pada masa yang sama mampu untuk mengolah idea.
Carl Rogers telah menggariskan lima faktor yang menjadi asas kepada individu yang sihat, yang dapat berfungsi dengan sepenuhnya dalam kehidupan. Kelima-lima faktor tersebut ialah keterbukaan kepada pengalaman, cuba menikmati kehidupan yang dialaminya, menghargai diri sendiri, mengamalkan kebebasan dan akhirnya menjadi individu kreatif. Beliau percaya bahawa individu yang bebas dan mempunyai rasa tanggungjawab akan cuba menyumbang kepada insan serta makhluk lain di persekitarannya.
Sumbangan ini boleh dinyatakan dalam bentuk kreativiti di dalam bidang seni ataupun sains,
Victor Lowenfeld - menjelaskan bahawa kreativiti seseorang murid itu boleh diukur melalui empat omponen utama iaitu kelancaran,( secara spontan serta pantas )
fleksibel, (mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dan situasi keaslian (mencari idea baru dan asli kepekaan. (Penggunaan deria pancaindera seperti melihat, merasa,
mendengar, menghidu dan sentuhan digunakan secara sepenuhnya sebagi proses engamatan dan merekod.) 

TAHAP PERKEMBANGAN KREATIVITI

1.4.1 Perkembangan Kreativiti Fisher


(a) Peringkat Rangsangan
Pemikiran kreatif dirangsang dengan apa, mengapa, siapa, bagaimana dan sebagainya. Guru perlu merangsang minda pelajar dengan pelbagai soalan kritikal.


(b) Peringkat Penerokaan
Peringkat rangsangan telah berjaya merangsang murid untuk berusaha menjawab persoalan yang dikemukakan oleh guru atau permasalahan yang timbul.


(c) Peringkat Perancangan
Peringkat ini menggalakkan pemikiran kreatif untuk merancang dan memetakan semua aktiviti dan merekodkan segala kemungkinan.
Aktiviti pada peringkat ini akan dilakukan melalui 3 cara iaitu:
• Perancangan secara verbal iaitu perancangan melalui perbincangan,
pemerhatian, interaksi dan sebagainya.
• Perancangan secara visual dilakukan melalui visual, graf, imej lukisan dan sebagainya.


(d) Peringkat Aktiviti
Pemikiran kreatif bermula dengan set idea. Justeru melahirkan pemikiran kreatif melalui tindakan setelah merencana segala aktiviti.
Pada peringkat ini segala perancangan dibantu melalui persoalanpersoalan seperti ‘’Bagaimana harus kita mengambil tindakan ke atas cadangan tersebut?’’


(e) Kajian Semula
Peringkat ini menilai keberkesanan tindakan yang telah diambil bagi proses penambahbaikan selain melihat pencapaian objektif kerja.
Murid-murid digesa untuk memberikan pendapat dan komen terhadap apa yang telah dilalui sebagai satu bentuk refleksi diri.


Laura H. Chapman – 3 kaedah diperkenalkan :
(a) Kaedah Penjanaan Idea (Inception of Idea)
Di dalam menjana idea, pengkarya menetapkan objektif, haluan dan tujuan penghasilan karya. guru dimestikan untuk membimbing pelajar dalam menetapkan hala tuju penghasilan karya selain menerangkan kaedah menjana idea.

(b) Pengolahan dan Pemurniaan (Elaboration and Refinement)
Proses pengolahan dan pemurnian idea dilakukan bagi mendapatkan kajian visual yang lebih sistematik dan tersusun.
Proses ini digunakan oleh pengkarya bagi memastikan imej atau visual yang hendak dihasilkan atau dipilih bertepatan dengan tema dan objektif penghasilan.


(c) Kemahiran Menggunakan Bahan (Execution in a Medium)
guru perlu membimbing murid melalui pengenalan terhadap bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan. Guru perlu menjelaskan melalui demonstrasi dan tunjuk cara supaya pemilihan bahan oleh murid mempunyai makna dan nilai tersendiri.


Calvin W. Taylor
(a) Kreativiti Bersifat Ekspresif
Kreativiti bersifat ekspresif berlaku secara rawak dan bebas.
Keadaan ini boleh dilihat melalui lukisan kanak-kanak yang dihasilkan secara spontandan bebas mengikut kemampuan yang sesuai dengan perkembangan fizikal mereka yang belum stabil.
Penghasilan lukisan pada peringkat ini banyak digambarkan melalui garisan dan contengan mudah. \
(b) Kreativiti Melalui Penghasilan
guru membantu murid untuk menambahbaik kemahiran sedia ada
kepada kaedah yang lebih sistematik dan tersusun.


(c) Kreativiti Bersifat Inventif
Kreativiti bersifat inventif merujuk kepada keupayaan mencipta benda atau objek melalui proses eksprimentasi. Peranan guru pada peringkat ini adalah memberikan motivasi dan galakan supaya pelajar tidak cepat bosan dan putus asa.


(d) Kreativiti Bersifat Inovatif
Peringkat ini melibatkan modifikasi kepada konsep-konsep asas sedia ada kepada idea baru yang lebih bermakna. pelajar mula bertindak luar dari kaedah konvensional dan menghasilkan alternative bagi setiap perancangan.


(e) Kreativiti Bersifat Emergen
Ini merupakan bentuk kreativiti tertinggi di mana keseluruhan prinsip
formal diterjemahkan dan muncul di dalam bentuk abstrak dan mudah. Sebagi contoh, figura manusia digambarkan tanpa menitikberatkan bentuk formal dan bentuk asalnya oleh kanakkanak apabila melukis.

CIRI-CIRI KREATIVITI
(a) Bersifat Fleksibel
Seseorang yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dirinya dalam pelbagai keadaan dan situasi selain mempunyai keyakinan optimis.

(b) Sensitif dan Peka
Individu ini mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap keadaan sekelilingnya termasuk gaya hidup, keperluan, persekitaran dan turut sensitif menggunakan deria.

(c) Gagasan/Idea yang Asli dan Tulen
Seseorang yang dikategorikan sebagai kreatif sering kali mengutarakan idea dan gagasan yang asli. Ini bermakna, cetusan idea bukanlah hasil cedokan daripada mana-mana sumber. Idea mereka unik dan menarik, malah tidak stereotaip dan juga tidak kovensional. Mereka ini biasanya menghasilkan hasil kerja dan karya mengikut cetusan rasa. Hasil karya yang mereka hasilkan sering kali berbeza daripada yang biasa.

(d) Bersifat Terbuka
Mempunyai sifat keterbukaan di dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain mengenai hasil karya dan kerja mereka. Mengamalkan sikap bebas serta demokratik.

(e) Logik
Murid-murid peka dan sering berfikir secara logik dan rasional.
Mereka tahu membezakan yang baik dan tidak baik. Selain menghargai masa mereka juga sangat menghormati masa.

(f) Berfikiran Bebas
Golongan kreatif ini mempunyai daya pemikiran yang tidak terkongkong pada satusatu perkara sahaja. Golongan ini pandai dan bijak merancang agar projek dan perkara yang dirancang selamat dan berjalan lancar. Pada kebiasaannya mereka ini sangat berhati-hati dan bijak membuat keputusan.

1.6 STRATEGI MERANGSANG KREATIVITI

1.6.1 Kaedah Sumbangsaran (Brainstorming)
(a) Kaedah Pertama
Elakkan membuat penilaian, terutama semasa proses awal sumbangsaran. Ini boleh membantutkan usaha murid untuk menyalurkan idea kerana khuatir idea yang diberikan tidak mampu dilaksanakan.

(b) Kedah Kedua
Elakkan pemilikan idea oleh kumpulan dan individu. Ini kerana apabila idea dan saranan dihakmilikkan oleh individu atau kumpulan ianya akan menyebabkan perasaan ego wujud lalu mengurangkan kerjasama di kalangan murid. Keadaan ini biasanya mewujudkan suasana tegang kerana mereka cuba untuk mempertahankan idea dan secara tidak langsung menyebabkan kesukaran untuk memperbaiki idea tersebut.

(c) Kaedah Ketiga
Menjelaskan kepada murid bahawa tidak menjadi kesalahan untuk meminjam idea dan cara sedia ada bagi tujuan penambahbaikan dalam proses kemudiannya.

(d) Kaedah Keempat
Menggalakkan sumbangsaran idea yang luar biasa yang kadangkala tidak masuk akal. Galakan sebegini akan merangsang murid untuk berfikir luar daripada kemampuan supaya murid mempunyai idea menarik, tidak bersifat konvensional dan bersifat biasa sahaja.

Teori Perkembangan Kreativiti Paul Torrance
proses memupuk dan mengembangkan kreativiti para pelajar.
(a) Penyoalan
Rangsangan melalui proses penyoalan melalui sesi kritikan seni.

(b) Penemuan
Proses penemuan merujuk kepada usaha untuk memberikan galakan dan rangsangan oleh guru kepada murid bagi menggalakkan penemuan-penemuan terbaru melalui penyelidikan dan kajian.

(c) Pemerhatian
proses pemerhatian tidak tertumpu hanya pada deria pengamatan semata-mata malahan proses pemerhatian turut melibatkan deria yang lain seperti deria sentuhan, dan sebagainya.

(d) Percubaan
Percubaan merujuk kepada usaha berterusan bagi mendapatkan hasil terbaik. Individu yang kreatif akan terus bereksperimentasi bagi mendapatkan kesan dan hasil yang dikehendaki.

(e) Penerokaan
Penerokaan atau eksplorasi merujuk kepada galakan untuk memanipulasi pelbagai barangan dan alat yang terdapat di sekeliling.

(f) Memanipulasi
murid mampu menggunakan objek dan bahan yang terdapat di sekeliling untuk dijadikan hasilan seni. Dalam konteks pendidikan seni visual usaha ini mengajar pelajar supaya lebih berjimat dan mengelakkan pembaziran.

(g) Aktiviti/Bermain
Kreativiti boleh dirangsang melalui aktiviti bermain. Bagi kanakkanak, masa bermain merupakan masa yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Justeru, rangsangan perlu diwujudkan melalui permainan berbentuk akademik. Sebagai contoh, guru boleh menggalakkan aktiviti seperti membuat mural di sekolah.

1.7 MENINGKATKAN MOTIVASI
Strategi dan saranan yang boleh digunakan oleh guru bagi menyuburkan proses kreativiti.
(a) Memilih Bahan dan Alat
Murid seharusnya diberikan peluang untuk memilih bahan dan alatan yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti seni visual.

(b) Masa
Rancang pelajaran dengan baik dan teratur supaya murid mempunyai masa yang cukup untuk berfikir, membuat eksperimentasi, dan meneroka.

(c) Rangsangan
Pamerkan hasil karya murid sebagai satu bentuk sokongan berterusan. Pameran hasil karya murid boleh merangsang pelajar untuk menghasilkan banyak lagi hasil karya seni visual.

(d) Pengajaran dan Pembelajaran Fleksibel
Guru pendidikan perlu fleksibel dalam proses pengajaran. Mereka seharusnya bersedia untuk mengubah cara mengajar mengikut minat idea dan cadangan daripada murid.

(e) Hormat-menghormati
Guru pendidikan seni visual perlu mempunyai sikap menghormati murid dan menghargai sumbangan dan komitmen yang ditunjukkan

(f) Memberikan Galakan dan Motivasi
Elakkan daripada mengkritik keterlaluan sehingga pelajar patah semangat dan tidak berminat untuk meneruskan penghasilan karya.

(g) Penghargaan
Galakkan dan berikan penghargaan kepada murid di atas usaha dan komitmen yang mereka berikan di dalam kelas

Wednesday, 25 January 2012

Latihan 

Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Membaca Dalam Kalangan Anak-Anak.
Lengkapkan tempat kosong dalam karangan di bawah.

      Amalan ____________(1) merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk _______________(2) keluarga berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.
         Salah satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke ________________(3). Amalan ke perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh, _______________(4)boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.
         Selain itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan _________(5) di rumah. Perpustakaan ini dapat dijadikan tempat ____________(6)buku dan majalah. Malahan, boleh dijadikan tempat anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca. Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan___________(7). Lantaran itu, ibu bapalah memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar gemar membaca buku ketika berada di rumah..
         Di samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan__________(8) teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik dari ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap gemar____________(9) suratkhabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan oleh ibu bapa dalam mengisi ________(10) lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu ‘___________ (11)acuan, begitulah kuihnya’. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik untuk dicontohi anak-anak.
          Tambahan pula, ibu bapa boleh __________(12)anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika _________(13) ke pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat _____________(14)cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual adalah berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai bukusebenarnya membawa kepada mewujudkan ________(15) suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.
        Seterusnya, ibu bapa juga boleh_______________(16) buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya dalam peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa ____________(17) kerana kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran, novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya _____________(18)sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
          Kesimpulannya, terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak kerana membaca ___________ (19) ilmu. Oleh itu,anak-anak yang rajin membaca akan menjadi pandai dan bakal pemimpin pada masa akan datang. 
Jawapan
  1. Membaca
  2. mewujudkan
  3. perpustakaan
  4. ibu bapa
  5. mini
  6. menyimpan
  7. selesa
  8. contoh
  9. membaca
  10. masa
  11. bagaimana
  12. membawa
  13. pergi
  14. mempelajari
  15. budaya
  16. menghadiahkan
  17. seronok
  18. diterapkan
  19. jambatan

Monday, 23 January 2012

Perkataan sama ada atau samada

Ejaan yang betul bagi sama ada ialah sama ada.Perkataan sama ada  merupakan kata majmuk berbentuk rangkai kata  umum dieja sebagai dua perkataan. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Monday, 12 December 2011



                        KATA BANYAK MAKNA

Info Kata banyak makna
* Kata banyak makna bermaksud perkataan yang mempunyai lebih daripada satu
   maksud.
* Makna perkataan yang berbagai-bagai ini dibezakan dalam konteks ayat yang
   berlainan.
Kata
Maknanya
Akal
1. fikiran
2. ikhtiar
3. muslihat, tipu helah
Alamat
1. tanda
2. tempat tinggal
3. keterangan nama tempat, jalan, nombor rumah,poskod dan
    menunjukkan tempat tinggal seseorang.
Barang
1. benda
2. lebih kurang
3. apa-apa saja
Bermuka-muka
1. beberapa banyak muka surat.
2. berpura-pura atau tidak ikhlas
Bersimpang-siur
1. bergerak ke sana ke mari.
2. silang-menyilang kerana terlalu banyak.
3. terlalu banyak likunya, berliku-liku.
Besar
1. tidak kecil.
2. kuat dan lurus kawasan pemerintahnya.
3. penting, berpengaruh, berkuasa
4. tugas penting, hajat atau niat.
Cerah
1. terang
2. jernih.
3. agak putih.
4. berseri, tidak muram.
5. baik, bahagia.
Cetek
1. tidak luas (pengetahuan)
2. tidak dalam (air)
Dalam
1. tidak cetek
2. luas pengalaman
Diam
1. tidak bercakap, senyap
2. tinggal
Diam-diam
1. senyap-senyap, tidak memberitahu sesiapa.
2. tidak berbuat apa-apa
Dingin
1. sejuk
2. tidak meriah
Faedah
1. guna, manfaat.
2. bunga, laba, untung
Halaman
1. muka surat.
2. pekarangan rumah
Halus
1. kecil-kecil.
2. beradab
Hampa
1. kecewa
2. tidak berisi
3. kosong
Hangat
1. berita yang masih baru
2. panas
Haus
1. dahaga
2. sangat ingin mendapatkan sesuatu
3. menjadi tidak tebal kerana tergosok atau banyak digunakan
Jelas
1. terang, nyata
2. selesai, beres
Kemas
1. teratur
2. disiapkan dengan baik
3. kuat, teguh, erat.
Kemasukan
1. dimasuki oleh sesuatu
2. yang behubung dengan perihal masuk
Kepantasan
1. kelajuan
2. kecekapan
Lapangan
1. kawasan yang luas
2. jurusan, bidang
Lapang
1. luas
2. tidak sibuk
Masak
1. boleh dipetik dan dimakan
2. tidak mentah
3. berpengalaman
Menganjurkan
1. mengemukakan, mengesyorkan, mencadangkan
2. mengadakan
3. menghulurkan atau memajukan ke depan
Menjelaskan
1. menerangkan atau menghuraikan dengan lebih lanjut
2. menyelesaikan hutang
Menjemput
1. mengambil
2. mengambil atau mencubit dengan menggunakan hujung jari
Melancarkan
1. memulakan sesuatu dengan cepat / meluncurkan
2. memudahkan / melicinkan sesuatu usaha
3. melakukan / mengadakan sesuatu serangan, tindakan
Melepaskan
1. membebaskan / menjadi tidak terikat
2. menghilangkan (letih / penat)
3. memberikan / menguntukkan
4. mengeluarkan / membiarkan keluar (perasaan)
Membuka
1. menjadikan tidak bertutup
2. menghidupkan sesuatu
3. memberikan peluang
Memotong
1. mengerat / memenggal
2. mengurangkan sesuatu
3. memintas
4. mencelah percekapan orang
5. menoreh getah
Menyaingi
1. mengiringi / menemani
2. menandingi / berlawan
Menahan
1. tidak membiarkan lepas, menyekat, tidak membenarkan,
    menghentikan.
2. melawan / menangkis serangan
3. melambaikan tangan untuk menyuruh kenderaan berhenti
4. menguatkan diri supaya sanggup menderita
Menelan
1. memasukkan sesuatu ke dalam perut melalui kerongkong
2. banyak memerlukan
3. terpaksa menerima sesuatu yang tidak menyenangkan
Menuntut
1. mendesak
2. mencari ilmu
Pengajaran
1. sesuatu yang diajar
2. pedoman
Rasa
1. rasa dengan lidah
2. pendapat, fikiran
3. keadaan hati terhadap sesuatu
Serong
1. tidak lurus, tidak tepat letaknya
2. tidak jujur, curang
Tahan
1. tidak mudah rosak
2. sanggup menderita
3. cukup, memadai
Tajam
1. dapat memotong dengan mudah
2. cerdik
3. keras atau pedas (perkataan, kritik)
Tawar
1. tidak terasa apa-apa
2. tidak mujarab, hilang kekuatan
3. tidak berkemahuan, tidak bernafas / bersemangat
4. meminta dikurangkan harga barangan.




TANDA BACA


Tanda baca ialah simbol yang bertindak untuk menunjukkan struktur serta penyusunan penulisan dan biasa juga, untuk intonasi (turun naik nada suara) dan penghentian sebenar ketika membaca dengan suara yang lantang. Beberapa aspek dalam penggunaan tanda baca adalah stilistik dan oleh itu, bergantung kepada pilihan penulis.

1. Tanda baca ialah simbol atau tanda yang digunakan untuk memberri isyarat kepada pembaca supaya melakukan sesuatu dalam bacaan

2. Ia diletakkan di temapt-tempat tertentu dalam ayat berdasarkan tujuan dan kesesuaiannya.

3. Tanda baca utama ialah :

Tanda Noktah atau titik   ( . )
Tanda koma                 ( , )
Tanda tanya atau soal   ( ? )
Tanda seruan                ( ! )
Tanda sempang atau sengkang  ( - )
Tanda noktah bertindih             ( : )
Tanda pengikat kata atau petik  ( “        “ )


Tanda Baca
Ayat Contoh
Tanda noktah
.
               
a. Pengawas itu sedang menaikkan bendera Malaysia.
b. kereta itu bukan kereta Proton Saga.
c. Kapal itu berlabuh di Pelabuhan.
Tanda Koma
,
a. Setiba di Zoo Negara, ayah pun pergi 
     membeli tiket.
b. Selain mengumpulkan setem, lencana,

     dan daun-daun kering, Amin juga bermain
     badminton pada waktu lapang.
c.Setahun saya, bas itu belum tiba lagi.       
Tanda soal
?
a. Bagimanakah mereka menyelamatkan budak yang
    hampir mati lemas itu?
b. Sudahkah abang kamu menghabiskan kerjanya?
c. Siapakah yang menemaninya tadi?
Tanda seru
!
a. Amboi, wanginya durian-durian ini!
b. Aduh, sakitnya gigi saya!
c. Cis, biadab betul budak itu!
Tanda sempang
-
a. Sayur-sayuran itu dimasukannya ke dalam 
     bakul.
b. Anak Puan Siti pandai-pandai belaka.
c. Pakaian pengemis compang-compang.
Tanda petik
'     '
a."Cikgu Tan akan bersara pada bulan depan,
     " kata guru besar.
b. Wai Seng bertanya, "Bolehkah saya pinjam
     buku ini?"
c. "Baiklah, cikgu," kata Ahmad.
Huruf Besar
a. Orang tua itu tinggal di Taman Indah, 
    Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
b. Pen Parker ini dibelinya dari Kedai Jam 
    Tangan Megahpada bulan Ogos yang lalu.
c. Dewan Pelajar merupakan majalah yang sangat 
    sesuai  bagi kanak-kanak.


 LATIHAN 1
Pilih jawapan yang paling sesuai.
1.(A) Saya lebih suka membaca,
   (B) Saya lebih suka membaca:
   (C) Saya lebih suka membaca.
   (D) Saya lebih suka membaca?

2.(A) Kata Kakak,"Jangan usik adikmu."
   (B) Kata kakak,"Jangan usik adikmu."
   (C) Kata kakak."Jangan usik adikmu."
   (D) Kata kakak:"Jangan usik adikmu."

3.(A) Ceh!orang yang tidak tahu malu,
   (B) Ceh,orang yang tidak tahu malu.
   (C) Ceh,orang yang tidak tahu malu?
   (D) Ceh,Orang yang tidak tahu malu!

4.(A) Encik Lim sekaya Encik Lee.
   (B) Encik lim sekaya Encik lee.
   (C) Encik Lim sekaya encik Lee.
   (D) Encik Lim sekaya Encik Lee!

5.(A) "Mengapakah kamu menangis:" tanya Ali kepada adiknya.
   (B) "Mengapakah kamu menangis," Tanya Ali kepada adiknya.
   (C) "Mengapakah kamu menangis?" tanya Ali kepada adiknya.
   (D) "Mengapakah kamu menangis." tanya Ali kepada adiknya.

6.(A) Keempat-empat anak Hashim masih bersekolah.
   (B) Keempat empat anak Hashim,  masih bersekolah.
   (C) Keempat-empat anak Hashim,  masih bersekolah.
   (D) Keempat-empat anak hashim masih bersekolah?

7.(A) Malaysia mengeksport kayu kayan seperti kayu meranti, cengal,
        dan merbau ke luar negeri.
   (B) Malaysia mengeksport kayu-kayan seperti, kayu meranti, cengal,
        dan merbau ke luar negeri.
   (C) Malaysia mengeksport kayu kayan seperti kayu Meranti, Cengal
        dan Merbau ke luar negeri.
   (D) Malaysia mengeksport kayu-kayan seperti kayu meranti, cengal
        dan merbau ke luar negeri.

8.(A) Pada hemat saya buku pedoman bahasa ini bermutu tinggi.
   (B) Pada hemat saya, Buku Pedoman Bahasa ini bermutu tinggi.
   (C) Pada hemat saya, buku pedoman bahasa ini bermutu tinggi.
   (D) Pada hemat saya; buku pedoman bahasa ini bermutu tinggi.

9.(A) Mary dan adiknya bekerja di Bank rakyat.
   (B) Mary dan adiknya bekerja di Bank Rakyat.
   (C) Mary dan adiknya bekerja di bank rakyat.
   (D) Mary dan Adiknya bekerja di Bank Rakyat.

10.(A) tolong, tolong, jerit budak itu.
     (B) "tolong, tolong,"jerit budak itu.
     (C) "Tolong, tolong,"jerit budak itu.
     (D) "Tolong! Tolong!"jerit budak itu.



LATIHAN 2
1.(A)"Adakah ini pen saya."tanyanya.
   (B)"Adakah ini pen saya,"tanyanya.
   (C)"Adakah ini pen saya?"tanyanya.
   (D)"Adakah ini pen saya!"tanyanya.

2.(A)Balai Polis itu terletak di Nombor Jalan Sentosa.
   (B)Balai Polis itu terletak di nombor Jalan Sentosa.
   (C)Balai Polis itu terletak di Nombor Jalan Sentosa
   (D)Balai polis itu terletak di Nombor Jalan Sentosa.

3.(A)"Amboi, cantiknya gambar ini!"
   (B)Amboi! cantiknya gambar ini.
   (C)Amboi! cantiknya gambar ini!
   (D)Amboi, cantiknya gambar ini?

4.(A)Malik bertanya kepada Halim, "Bilakah kamu
        akan pergi ke Melaka?"
   (B)Malik bertanya kepada Halim "Bilakah kamu 
        akan pergi ke Melaka?"
   (C)Malik bertanya kepada Halim: "Bilakah kamu 
        akan pergi ke Melaka?"
   (D)Malik bertanya kepada Halim, "bilakah kamu 
        akan pergi ke Melaka?"

5.(A)si puteh ialah kucing kesayangan aini.
   (B)Si puteh ialah kucing kesayangan Aini.
   (C)Si puteh ialah kucing kesayangan aini.
   (D)Si Puteh ialah kucing kesayangan Aini.

6.(A)Muthu dan samy akan menduduki peperiksaan PMR.
   (B)Muthu dan Samy akan menduduki peperiksaan PMR.
   (C)Muthu dan Samy akan menduduki Peperiksaan PMR.
   (D)muthu dan Samy akan menduduki Peperiksaan PMR.

7.(A)Marina, anak perempuan Pak Busu ialah gadis 
         yang baik hati  dan bersopan-santun.
   (B)Marina anak perempuan,  Pak Busu ialah gadis  
        yang  baik hati dan bersopan santun.
   (C)Marina, anak perempuan Pak Busu, ialah gadis 
        yang  baik hati dan bersopan-santun.
   (D)Marina anak perempuan Pak Busu ialah gadis
        yang baik hati, dan bersopan-santun.

8.(A)Hari hampir senja, ayah masih juga belum pulang?
   (B)Hari hampir senja. Ayah masih juga belum pulang.
   (C)Hari hampir senja, ayah masih juga belum pulang.
   (D)Hari hampir senja; ayah masih juga belum pulang.

9.(A)komtar ialah bangunan yang tertinggi di malaysia.
   (B)Komtar,  ialah bangunan yang tertinggi di Malaysia.
   (C)Komtar ialah bangunan yang tertinggi di Malaysia.
   (D)Komtar- ialah bangunan yang tertinggi di Malaysia.

10.(A)Penjahat itu sudah dihukum, bukan.
     (B)Penjahat itu sudah dihukum, bukan?
     (C)Penjahat itu sudah dihukum bukan.
     (D)Penjahat itu sudah dihukum bukan?















































Friday, 9 December 2011

BAHASA MALAYSIA
UJIAN PEMAHAMAN SET 2
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

     Haikal, John dan Leong bersahabat baik semenjak kecil lagi. Mereka hidup sekampung dan bersekolah di sekolah yang sama. Ketiga-tiganya murid Tahun Enam. Mereka sentiasa berlumba-lumba dalam pelajaran. Masing-masing ingin menduduki tempat teratas dalam kelas.

       Dalam Peperiksaan Percubaan UPSR tempoh hari, ketiga-tiganya mendapat 4A. Di dalam kelas mereka, John muncul pelajar terbaik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, manakala Leong mendapat markah tertinggi bagi Bahasa Inggeris. Haikal pula mendapat 100 peratus dalam Matematik. Guru kelas mereka sungguh bangga dengan pencapaian ketiga -tiga muridnya yang juga menjadi anak emas sekolah mereka itu.

      Walaupun mereka saling berlumba dalam pelajaran, mereka tidak bermusuhan antara satu sama lain. Malah, mereka saling membantu dalam menghadapi apa juga keadaan. Mereka belajar bersama-sama, bermain bersama-sama dan jika timbul masalah, mereka akan cuba menyelesaikannya secara muafakat.

       Di kampung, mereka terkenal sebagai budak-budak yang ringan tulang. Orang kampung juga sangat suka kepada mereka kerana mereka juga ringan mulut. Mereka rajin menolong ibu bapa dan juga sentiasa bersedia membantu orang kampung. Apabila berselisih dengan orang lain, mereka tidak pernah masam muka, sebaliknya menegur orang itu dengan ramah.

1- Perkataan 'berlumba-lumba' dalam petikan di atas bermaksud
  A-berlawan
  B-bersaing
  C-beriringan
  D- berkejar-kejaran

2- Antara berikut, manakah pernyataan yang salah?
  A-Haikal mendapat markah penuh dalam Matematik.
  B-John mendapat markah tertinggi dalam Bahasa Melayu.
  C-Leong mendapat markah penuh dalam Bahasa Inggeris
  D-Haikal, John dan Leong mendapat 4A dalam peperiksaan
      percubaan UPSR sekolah mereka.

3- Semua perkara di bawah dilakukan oleh tiga sahabat itu
    bersama -sama, kecuali
   A-bermain
   B- belajar
   C-menolong ibu bapa
   D-menyelesaikan masalah

14 Semua simpulan bahasa yang terdapat dalam petikan di atas
     membawa maksud yang  baik, kecuali
    A-anak emas
    B-ringan tulang
    C-ringan mulut
     D-masam muka

5- Apakah tajuk yang paling sesuai bagi petikan tersebut?
   A- Bakal Pelajar Terbaik UPSR
   B-Sikap Yang Harus Diteladani
   C-ringan mulut
   D-Pelajar Pintar Sentiasa Berlumba-lumba