I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday 8 December 2011

KARANGAN JENIS MENYAMBUNG ATAU MENYUDAHKAN CERITA
1- Karangan ini terbahagi kepada dua bentuk ,iaitu:
      a)Petikan pada awal cerita.
      b)Petikan pada akhir cerita.

2- Ciri-ciri karangan jenis ini tiada bezanya dengan karangan 
    cerita,cuma permulaan atau pengakhirannya sudah dipantau 
    dengan petikan.

3- Setiap cerita perlu mempunyai watak,latar(masa,tempat, 
     dan  waktu),tema/ persoalan,plot,dan mesej.

4- Urutan cerita sebaik-baiknya menimbulkan rasa ingin tahu
    di hati pembaca (pemeriksa)dengan mewujudkan unsur 
    saspens.

5- Susunan plot dimulakan dengan pengenalan, perkembangan, 
     klimaks,dan peleraian.

6- Seboleh-bolehnya calon mampu mewujudkan rasa kesal,
     kecewa, marah,atau geram untuk memikat pemeriksa.

7- Cerita boleh berdasarkan pengalaman,pembacaan, 
     penglihatan,atau perbualan, asal sahaja logik.

8- Calon digalakkan menggunakan bahasa yang berbunga-
     bunga ,tetapi perlu dalam keadaan terkawal.

9- Watak tidak semestinya manusia;boleh benda atau binatang.

10-Masukkan dialog untuk menunjukkan kemahiran berbahasa,
     tetapi dialog yang penting sahaja.



CONTOH KARANGAN :PETIKAN PADA AWAL CERITA
Lengkapkan cerita di bawah
Sedang kami leka bermandi-manda,tiba-tiba terdengar orang meminta tolong.
Tanpa berlengah,saya……..
Pendahuluan :Meminta rakan-rakan naik ke atas.
* Dari daratan mencari dari mana datangnya suara tadi.
* Tidak jauh dari sini.
Isi 1:Jeritan seorang budak yang tenggelam timbul.
* Segera menyelamatkan mangsa.
* Berenang mendapatkan mangsa.
Isi 2:Menyelam untuk menariknya ke atas.
* Dapat memegang lengan mangsa.
* Menarik mangsa ke permukaan air.
Isi 3:Rakan membantu mengheret mangsa ke tepi.
* Bergerak lemah menuju ke bawah pokok.
* Memerhatikan rakan menyelamatkan mangsa.
Isi 4:Terdengar panggilan ketika baru sahaja melelapkan mata.
* Terlihat seorang lelaki dan perempuan di depan saya.
* Segera membetulkan kedudukan diri.
Isi 5:Lelaki itu ingin kepastian tentang usaha yang saya lakukan.
* Saya mengangguk,kemudian lelaki itu memeluk saya.
* Saya dibuai rasa keharuan yang amat sangat.
Penutup:Mangsa sudah sedarkan diri.
* Ayah mangsa meminta alamat dengan berjanji akan menemui keluarga  
  saya.
* Hati berasa puas.


Harga Sebuah Nyawa
     Tanpa berlengah masa saya meminta rakan-rakan naik ke atas. Dari daratansaya mencari dari mana datangnya suara tadi. Suara itu tidak jauh dari sini.
     “To…to…long…!” Satu suara seorang budak yang sedang tenggelam timbul mengejutkan kami. Secepat kilat,dengan bulat hati untuk menyelamatkan magsa,saya terjun ke dalam air yang tenang. Saya berenang mendapatkan mangsa dalam jarak lima meter.
     Mangsa tenggelam timbul dan saya terpaksa menyelam untuk menariknya ke atas.Saya dapat berasa sudah memegang lengan mangsa.Dengan kekuatan yang ada pada saya ,saya tarik ke permukaan air agar mangsa yang saya anggarkan berusia lapan tahun itu boleh bernafas.
    Amirul dan steven membantu sama mengheret mangsa ke tepi. Setelah mangsa tiba di tepi pantai,saya bergerak lemah menuju ke bawah pokok. Di situ,sambil membuang keletihan,saya memerhatikan Amirul dan Steven menyelamatkan mangsa yang tinggal nyawa-nyawa ikan.
    “Adik!” Panggil satu suara. Saya yang baru melelapkan mata,segera membuka mata. Apabila mata terbuka,di depan saya seorang lelaki dan perempuan ,seperti sepasang suami isteri sudah tercegat. Saya membetulkan kedudukan saya.
    “Adik yang menyelamatkan anak abang?”
     Saya mengangguk. Lelaki itu kemudian memeluk saya. Suaranya serak-serak basah,dalam nada terharu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saya. Tiba-tiba dada saya dibuai keharuan yang amat sangat.
     Jantung hati mereka sudah sedarkan diri. Lelaki itu kemudian meminta alamat kami untuk bertemu keluarga kami satu hari nanti. Setelah memberikan alamat,saya meninggalkan lelaki itu dengan perasaan puas.


PETIKAN PADA AKHIR CERITA.
Akhiri karangan kamu dengan ayat di bawah.
Saya merasakan kehidupan yang saya lalui tidak sia-sia.
Pendahuluan :Menganggap diri bunga yang paling bertuah.
* Bertuah kerana mampu memperteguh tali percintaan.
* Hati berasa gembira.
Isi 1:Ditanam di Cameron Highlands.
* Dahan dipotong setelah tubuh mengeluarkan bunga.
* Diletakkan dalam bekas yang berair dan dibawa ke satu tempat   
  dengan van.
Isi 2:Menjelang pagi sudah tiba di Johor Bahru.
* Saya dan teman-teman dibeli.
* Disusun dalam bekas yang berair dan berharap ada orang 
   membeli.
Isi 3:Kata jejaka ,mawar tanda sayang.
* Menanyakan sama ada perlu membeli sekuntum atau lebih.
* Dicadangkan membeli sekuntum bunga.
Isi 4:Hati saya terhibur dengan pujian itu.
* Setelah bersetuju untuk dibeli,saya dibungkus.
* Saya kemudian diserahkan kepada teman wanitanya.
Isi 5:Saya dibawa pulang dan diletakkan dalam bekas berair.
* Minggu kedua tubuh saya bertukar warna coklat tua.
* Mengerti bila-bila masa sahaja akan dibuang
Penutup:Sedia menghadapi kemungkinan.
* Bangga kerana dapat berbakti.
* Merasakan masa yang dilalui tidak sia-sia.


Hidup Untuk berbakti
      Jika dibandingkan bunga-bunga lain,saya menganggap diri sebagai bunga yang paling bertuah. Saya berasa bertuah kerana kaum saya mampu memperteguh ikatan tali percintaan dalam kalangan manusia. Ah,gembiranya saya melalui hidup ini!.
      Saya ditanam di Cameron Highlands. Apabila tubuh saya sudah mengeluarkan bunga yang mekar, dahan saya dipotong.Lalu bersama teman-teman,setelah diletak dalam bekas yang berair,saya dibawa ke satu tempat dengan menaiki van.
     Apabila menjelang pagi,saya sudah tiba di Johor Bahru.Seorang pengusaha kedai bunga membeli saya dengan teman-teman yang lain. Saya disusun dalam bekas yang berair dan hati berharap segera dibeli orang.
    “Abang tahu Ain suka bunga mawar merah. Mawar ini tanda abang amat
menyayangi Ain. Cukup sekuntum untuk Ain?”
     “Walaupun abang bukan ketam batu,Ain tetap buah hati abang seorang,jadi sekuntum cukuplah.”
      Dialog ini menghiburkan hati saya. Lelaki itu kemudian berkata sesuatu kepada tuan punya kedai. Beberapa detik kemudian,saya yang berbalut bungkusan plastik sudah berada di tangan lelaki itu.Kemudian saya diserahkan kepada teman wanitanya.
     Saya dibawa pulang dan saya diletakkan dalam bekas yang berair . masuk minggu kedua tubuh saya sudah tidak bermaya dan kini bertukar coklat tua. Saya tahu bila-bila masa akan dibuang.
     Saya rela menghadapi setiap kemungkinan . Pada saat terakhir ini,saya berasa bangga kerana dapat berbakti. Saya merasakan kehidupan yang saya lalui tidak sia-sia.

No comments:

Post a Comment